Saturday 6 April 2013


SUSURILAH HIDUP INI SEBAGAI HAMBA..

Saban hari kita bangun,makan , belajar dan melakukan aktiviti sebagai manusia. Boleh dikatakan kita hampir melakukan perkara-perkara yang sama setiap hari. Namun adakah sama nilaian aktiviti- aktiviti ini di antara satu dengan yang lain? Ada manusia yang berjalan kerana mahu ke kedai, ada yang berjalan mahu ke majlis ilmu, dan ada juga yang di perjalankan dengan keranda menuju marhalah barzakh.Kesibukan dan kepelbagaian gerak zahir dan batin ini haruslah di sedari dengan sebuah hakikat bahawa ia tidak terlepas dari pengetahuan Allah subhanahu wataala.

“Dan rahsiakanlah perkataan kamu atau nyatakanlah .Sungguh dia mengetahui isi hati.Apakah pantas Allah yag menciptakan  itu tidak mengetahui ? Dan Dia Maha Halus Maha Mengetahui.”
 (surah al-mulk 13 dan 14)

Dirobotkan oleh kehidupan merupakan realiti yang perlu diakui . Mengambil contoh , seorang ayah mungkin sahaja pergi bekerja untuk membayar hutangnya, memberi  makan anak dan isterinya  dan mungkin juga supaya  dia melakukan perkara yang sama seperti bapa – bapa yang lain. Inilah contoh robot kehidupan. Berbeza dengan seorang  ayah yang berazam mencari rezeki yang halal sebagaimana tuntutan agama, dia mahu anak –anak yang makan dari rezeki yang halal itu tumbuh subur sebagai pejuang- pejuang agama Allah.

Hakikatnya, jika salah seorang dari mereka di tarik rezekinya pasti yang pertama akan hilang pertimbangan, marah, mengutuk, dan mungkin mencederakan anak- anak tersayang. Manakala yang kedua akan tetap tenang dengan pergantungan hidup oleh Yang Maha Memberi Rezeki. Dia sedar sebagai hamba dia perlu berusaha dengan penuh keyakinan. Dia memegang firman Allah:

“Sesungguhnya Allah memberi rezeki  kepada sesiapa yang  Dia kehendaki tanpa ada perhitungan.”
(surah ali-imran:37)

Hari ini , manusia seolah-olah lupa tujuan sebenar kehidupan, ataupun lebih tepat jahil mengenainya. Kejahilan ini bukan sedikit akibatnya,ia mempertaruhkan  diri yang akan dihitung pada penghujungnya. Ke manakah umurmu di bazirkan? Kepada siapakah kepenatanmu dipertaruhkan?  Virus kejahilan ini perlu di ubati dengan ilmu, ia akan merebak dan terus merebak jika tidak di banteras. Mengapa? Kerana umat ini memerlukan ibu, ayah, anak, pemimpin masyarakat, pemuda, warga tua dan semua lapisan kehidupan yang berjiwa hamba.

Sebarkanlah saudara- saudaraku, firman Allah subhanahu wataala:
" Sesungguhnya tidak aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk menyembahKu."
(surah az-zariyat:56).

               Apabila manusia tahu dirinya hamba kepada Allah subhanahu wataala yang Maha Pengasih, Maha Memberi, Maha Mengawasi, Maha Tahu dan berbagai lagi sifat Allah taala maka akan terealisasilah jiwa hamba yang menyembah Allah taala dalam setiap perkara.Kehidupannya tidak akan di sia-siakan kerana bimbang dipertemukan dengan penciptaNya dalam keadaan ia tidak bersedia menemuiNya.
               
            Rasulullah sallallahu alaihi wasalam adalah contoh terbaik dalam memperhambakan dirinya kepada Allah subhanahu wataala. Dakwah baginda di siang hari diiringi dengan munajat cintanya pada malam hari. Ibadahnya melebihi para sahabat walau baginda sudah pasti diampunkan dosanya sejak sebelum baginda diangkat menjadi rasul dan selepasnya. Inilah hakikat jiwa hamba, terus beramal tanpa mengeluh. Tidak lupa menggantungkan segalanya kepada Allah subhanahu wataala Yang Maha Mendengar.
 Dari Mughirah bin Syu'bah :
Rasulullah sallallahu alaihi wasalam solat(solat malam), sehingga bengkak kakinya. Maka dikatakan kepada baginda, "Baginda melakukan ini sedangkan baginda sudah pasti diampunkan dosa yang terdahulu dan terkemudian?. Jawab baginda ,"Tidak bolehkah aku menjadi hamba yang bersyukur?".(Hadis riwayat Bukhari,Muslim dan Tirmizi) 
               
              Akhir kata, hiduplah  sebagai seorang hamba yang kenal penciptaNya , jangan sombong dengan umur yang dipinjamkan, jangan disia- siakan masa yang akan dipersoalkan. Allah subhanahu wataala Maha Penolong hambanya , namun sudahkah kita berusaha sebagai hamba untuk mendapat pertolongannya ?"